Wednesday 25 June 2014

Panduan ubat untuk wanita hamil




Ramai tahu, ada ubat yang boleh menjejaskan kehamilan. Namun, tidak ramai tahu apakah jenis ubat yang dimaksudkan. Sebenarnya, kebanyakan ubat yang ada di pasaran, tidak diketahui kesannya terhadap kehamilan. Ini kerana tidak banyak ubat yang melalui ujian klinikal ke atas wanita hamil. Tambahan pula, tiada wanita hamil yang sanggup dirinya dijadikan sebagai bahan ujian. Jika sanggup sekalipun, ia melanggar etika perubatan. Namun begitu, masih ada beberapa jenis ubat yang selamat untuk digunakan. Anda boleh mengetahui sama ada ubat itu selamat ataupun sebaliknya dengan mengenal pasti kategori ubat. Kebanyakan ubat akan ditulis kategorinya sama ada A, B, C, D atau E(X)

A – Ubat yang datang daripada kategori ini didapati selamat untuk digunakan sewaktu hamil. Memandangkan tidak banyak ubat yang dikategorikan selamat, antara jenis ubat yang tersenarai dalam kategori ini ialah vitamin biasa dan multivitamin.

B – Senarai ubat dalam kategori ini pula telah diuji ke atas haiwan dan disahkan selamat. Ubat jenis B didapati tidak mendatangkan masalah pada wanita hamil. Namun, ubat jenis ini masih perlu diambil dengan hati-hati. Contoh ubat jenis B ialah antibiotik dan paracetamol.

C – Hasil ujian klinikal mendapati terdapat kesan ke atas haiwan tetapi belum ada ujian yang pernah dijalankan ke atas wanita hamil. Walau bagaimanapun, ubat ini masih boleh digunakan oleh wanita hamil dengan syarat beliau telah diberitahu risiko penggunaannya. Ubat-ubat dalam kategori ini termasuklah anti-depress dan sesetengah jenis antibiotik.

D – Ubat yang tersenarai dalam kategori ini didapati boleh membawa mudarat kepada janin. Contohnya ubat yang digunakan dalam rawatan kanser dan kimoterapi.

E (X) – Selain daripada dicatat sebagai ubat kategori E, kadang-kala ada ubat yang sama dicatatkan sebagai ubat kategori X. Ubat jenis ini disahkan berisiko tinggi menjejaskan janin. Sebagai contoh, thalidomide. Antara lain, ubat jerawat (accutane) sepatutnya tidak diambil sepanjang tempoh kehamilan kerana risiko kelahiran bayi cacat anggota badan

Kesan Sampingan Berbeza

Sebagai wanita hamil, perlu diingatkan bahawa anda hanya dibenarkan mengambil ubat yang mempunyai kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Paling penting, jangan makan sebarang jenis ubat tanpa nasihat doktor. Ini kerana, terlalu banyak ubat yang didakwa baik untuk kehamilan tetapi tidak mendapat pengiktirafan KKM. Begitu juga halnya dengan kebanyakan ubat tradisional yang berasaskan herba.

Kebanyakan ubat-ubat ini tiada pengawasan kualiti. Oleh kerana itulah kesan sampingan ubat-ubat ini berbeza di antara satu pengguna dengan pengguna yang lain. Ada sesetengah pengguna yang mengambilnya selamat namun ada segelintir yang lainnya mengalami masalah sewaktu hamil ataupun ketika proses bersalin.

Sebagai ingatan, dalam trimester pertama kehamilan, organ janin sedang terbentuk. Jadi, anda perlu berwaspada dengan ubat yang diambil. Adalah lebih baik jika anda bertanya kepada doktor terlebih dahulu sebelum memakan apa-apa jenis ubat. Begitu juga dengan dua atau tiga minggu sebelum bersalin.


Diakui Selamat

1. Paracetamol
Kebanyakan wanita yang demam ketika hamil takut untuk mengambil ubat. Perlu diketahui! Paracetamol selamat untuk dimakan. Wanita hamil yang demam perlu mengambil paracetamol bagi meredakannya. Jika tidak, dikhuatiri masalah lain pula yang akan timbul apabila suhu badan semakin meningkat.

2. Batuk
Sirap batuk daripada jenis benedril dijamin selamat.

3. Antibiotik
Terdapat tiga jenis kumpulan antibiotik yang dipercayai selamat. Antaranya ialah kumpulan penisilin, cephalosporin dan erythromycin.

4. Asma
Apa-apa sahaja jenis ubat untuk merawat asma adalah selamat dan dijamin tidak meninggalkan kesan buruk kepada kehamilan. Penggunaan inhaler adalah paling selamat.

Tidak Boleh Ambil Langsung !!!

1. Kulit
A. Accutane/ Isotretinoin

Sekiranya pernah mengambil ubat untuk merawat jerawat, anda pasti dinasihatkan doktor untuk tidak hamil dalam tempoh tertentu. Ini kerana risiko kelahiran cacat adalah tinggi iaitu 1:4 kandungan.

B. Tegison/ Etretinate
Bagi pesakit poriasis (sejenis penyakit kulit yang menyebabkannya keras dan gatal), ubat yang diberi adalah lebih bahaya. Kesan ubat ini akan berada dalam badan untuk tempoh yang panjang walaupun pesakit telah menghentikan penggunaannya. Dalam pada itu, ubat ini biasanya tidak akan diberi kepada wanita yang bercadang untuk hamil.

2. Thalidomide
Ubat yang digunakan untuk mengatasi morning sickness ini turut dikenali sebagai world medical disaster. Ini kerana selepas diperkenalkan pada tahun 1958, ubat ini didapati menyebabkan keguguran ataupun bayi lahir tanpa anggota badan.

3. Aspirin
Ubat jenis ini tidak digalakkan untuk diambil kerana risiko pendarahan.

4. Ponstan
Selain ponstan, ubat ini turut dikenali sebagai asid mefenemiuc. Ia tidak boleh diambil kerana dipercayai boleh memberi kesan kepada jantung janin.

Sumber : Utusan Malaysia


Salam sayang,

Atie Kamis

0 comments:

Post a Comment